Dari Tukang Cuci Pinggan Ke Pengusaha Sabun

dozee-kisah-pencuci-pinggan-ke-pegusaha-sabun

Kejayaan pengeluar produk sabun pencuci berjenama Do’zee, SR Asia Resources Sdn Bhd (SR Asia) adalah luar biasa kerana pemiliknya, Datuk Mohd Syukri Ibhrim atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Sabun tidak mempunyai pendidikan yang tinggi dan datang dari keluarga yang kurang berada.

Anak jati Kedah ini berkata, apa yang dimiliki kini bukanlah diperoleh dalam tempoh singkat dan pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi. Bermula dengan perasaan ingin tahu bagaimana terhasilnya sabun pencuci pelbagai guna ketika bekerja di sebuah kantin kilang membuatkan beliau nekad untuk memiliki kilang sabun sendiri.

“Terdetik dalam hati saya bagaimana sabun dihasilkan dan ia menjadi produk penting dalam kehidupan seharian. Sabun sentiasa digunakan dan wajib ada dalam setiap rumah dan dalam pelbagai industri.

“Bermula dari detik itu, saya berazam mahu berniaga sabun. Alhamdulillah, inspirasi daripada melihat sabun ketika mencuci pinggan telah membuka jalan untuk menghasilkan sabun walaupun tanpa sebarang kemahiran yang asas mengenai pembuatan sabun,” katanya.

Bermula dengan Modal RM20

Tamat sahaja Tingkatan Lima, berbekalkan wang RM20 hasil simpanannya, beliau meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke ibu kota Kuala Lumpur untuk menggali erti kehidupan dan mendapatkan pekerjaan.

Tanpa memilih kerja, tawaran menjadi pencuci pinggan di sebuah kantin kilang di Klang, Selangor diterima dengan hati gembira.

“Pada 1998, bermulalah kehidupan saya sebagai budak pencuci pinggan. Dari situ, saya mula belajar bagaimana menjaga kantin dan memasak. Ketika asyik membasuh pinggan, terdetik di hati, macam mana la buat sabun ni sebab saya lihat sabun ni permintaan sentiasa ada dan ia digunakan bukan sahaja di rumah tetapi untuk industri.”

“Dari situ, hati saya terus tanam azam nak ada kilang sabun sendiri dan Alhamdulillah Allah SWT permudahkan jalannya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Puncak Alam, Selangor.

10 Tahun Pengalaman Kerja Kantin

Dengan berbekalkan pengalaman bekerja di kantin selama 10 tahun, beliau mendapat peluang membuka kantin sendiri pada 2008. Bermodalkan duit simpanan yang ada dan hasil operasi kantin itu, Datuk Syukri terus mengorak langkah menceburi bidang perniagaan sabun dengan membuat sabun secara kecil-kecilan dan diedarkan kepada keluarga dan kenalan terdekat.

“Masa itu, formula yang saya dapat dari seorang kawan masih perlu diubah supaya dapat dijual di pasaran dan ia mula dipasarkan pada bulan keempat selepas tiga bulan menjalani program penyelidikan dan pembangunan (R&D).”

“Namun, ketika itu masih tiada pembeli dan syarikat beroperasi dalam kerugian untuk tujuh bulan berturut-turut dan menanggung hutang hampir RM2 juta.”

“Saya terpaksa ajak rakan baik turut serta dan bantu dari segi pemasaran dan Alhamdulillah pada 2015 jualan terus meningkat dan kami berpindah ke kilang yang lebih luas di Puncak Alam ini,” katanya.

kejayaan-pengasas-produk-sabun-dozee

Rekod Jualan Lebih 100,000 Sebulan

Kini, dengan ketekunan dan usaha sabun Do’zee yang dijenamakan semula daripada Top5 menjadi pilihan utama isi rumah dan industri. Malahan, SR Asia juga berjaya merekodkan jualan lebih 100 ribu botol sebulan dan menjadi peneraju utama dalam segmen pencuci dan bahan pencuci di Malaysia di mana Datuk Mohd Syukri bersama kakitangannya yang menjadi tulang belakang kejayaan syarikat.

Selain itu, jenama sabun milik Bumiputera sepenuhnya ini mendapat kepercayaan usahawan lain apabila meraih kontrak untuk menjadi pengeluar kepada produk sabun mereka.

“Dengan pemasaran yang agresif di samping kerjasama bersama pengusaha perniagaan lain dan pengiktirafan sebagai syarikat Bumiputera pertama menghasilkan sabun halal, saya optimis produk Do’zee mampu terjual 1 juta unit sebulan.”

“Buat masa ini, SR Asia mempunyai 30 stokis dan 2,900 ejen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Kami menyasarkan mempunyai 50 stokis dan penambahan 3,000 ejen baharu menjelang akhir tahun 2020,” katanya.

Ketika ini, SR Asia Resources menawarkan tujuh kategori produk membabitkan 36 jenis antaranya sabun cecair pakaian; penjagaan kenderaan; pelembut; pencuci pinggan; pencuci lantai, pencuci tangan dan pencuci untuk kegunaan industri.

Dengan pelbagai pilihan produk bermutu, SR Asia Resources turut membuka peluang perniagaan kepada mana-mana individu yang berminat untuk menjadi stokis dan ejen.

“Dengan sijil Halal yang kita ada, saya yakin kita mampu rekrut sekurang-kurangnya satu ejen untuk setiap daerah,” katanya.